Tuesday 9 September 2014

Konsep Kebebasan Beragama Di Malaysia (Arthur Mike Chee)

Suatu penjelasan perlu dibuat berulang kali, bahawa Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam adalah agama persekutuan, bukan agama rasmi seperti yang biasa dihujahkan oleh pihak-pihak yang tidak memahami kotenks perundangan.
           
Mendefinisikan Islam sebagai “agama rasmi” negara adalah tidak tepat kerana perkataan “rasmi” itu tidak pernah disebut dalam Perkara 3. Frasa “agama rasmi” juga akan menyempitkan tafsiran tersbut dan akan menjadikan agama Islam terhad kepada amalan ritual serta upacara rasmi dan keagamaan semata-mata. Perkara 3 (1) Perlembagaan memperuntukkan bahawa : “Islam ialah agama bagi Persekutuan ; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan”
           
Islam diiktirafkan oleh Perlembagaan sebagai agama Tertinggi Negara bukan sahaja disebabkan faktor dari fakta sejarah, yang mana Islam menjadi agama yang dominan di Semenanjung Tanah Melayu sejak kurun ke-12 lagi, tetapi juga sebagai mengiktiraf tonggak dan kekuasaan Raja-Raja yang semuanya adalah beragama Islam sewaktu Negara ini dibentuk. Walaupun Islam diikitraf sebagai agama Persekutuan, tetapi secara harmoninya, penganut-penganut agama lain masih bebas untuk menganut dan mengamalkan agama mereka. Ini bukan sahaja diperuntukkan dalam Perkara 3 (1) di atas, malah ditekankan lagi dalam Perkara 11 (1) Perlembagaan, yang memperuntukkan bahawa : “tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya.”

            Selain itu, Perkara 11 (3) Perlembagaan memberikan hak kepada penganut agama-agama ini termasuk agama Islam untuk menguruskan hal ehwal agamanya sendiri, menubuh dan menyelenggara yayasan untuk tujuan agama masing-masing dan khairat, memperolehi dan mempunyai harta serta memegang dan mendtadbirkannya mengikut undang-undang. Akan tetapi kebebasan ini bukan bermaksud agama-agama bukan Islam boleh menyebarkan agama mereka kepada penganut agama Islam. Ini adalah sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama tertinggi dalam Negara.

            Maka, Perkara 11 (4) memberi kuasa kepada kerajaan negeri (Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan) atatu kerajaan persekutuan (Undang-undang Persekutuan) boleh mengawal atau menyekat pengembangan ajaran atau kepercayan agama bukan Islam kepada orang-orang yang menganuti agama Islam.

            Kebebasan yang diberikan untuk mengamalkan agama masing-masing ini juga tidaklah sehingga membenarkan apa-apa perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang, dan mendatangkan masalah kepada kesihatan awam dan akhlak individu yang lain. Perkara ini diperuntukkan dalam Perkara 11 (5) Perlembagaan. 


Disediakan Oleh:
Arthur Mike Chee
07DAT14F1043

No comments:

Post a Comment