Wednesday 10 September 2014

Konsep Kebebasan Beragama Di Malaysia (Mohd Shawizal Mohd Wasli)

Namun begitu, suatu penjelasan telah dibuat berulang kali, bahawa Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam adalah agama persekutuan, bukan agama rasmi seperti yang biasa dihujahkan oleh pihak-pihak yang tidak memahami konteks perundangan. Mendefiniskan Islam sebagai “agama rasmi” negara adalah tidak tepat kerana perkataan “rasmi” itu tidak pernah disebut dalam Perkara 3.  Frasa “agama rasmi” juga akan menyempitkan tafsiran tersebut dan akan menjadikan agama Islam terhad kepada amalan ritual  serta upacara rasmi dan keagamaan semata-mata.

            Peruntukan Perkara 3 ini amat bersangkut paut dengan kelangsungan kuasa Raja-raja Melayu, sebagai ketua agama Islam di persekutuan dan di negeri-negeri. Peruntukan ini tidak mudah untuk dipinda, kerana ia perlu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja, walaupun setelah mendapat sokongan dua pertiga ahli parlimen.Walaupun Islam diiktiraf sebagai agama Persekutuan, tetapi secara harmoninya, penganut-penganut agama lain masih bebas untuk menganut dan mengamalkan agama mereka. Ini bukan sahaja diperuntukkan dalam Perkara 3 (1) di atas, malah ditekankan lagi dalam Perkara 11 (1) Perlembagaan yang memperuntukkan bahawa : “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya.”

            Malah, Perkara 11 (3) Perlembagaan memberikan hak kepada penganut agama-agama ini termasuk agama Islam untuk menguruskan hal ehwal agamanya sendiri, menubuh dan menyelenggara yayasan untuk tujuan agama masing-masing dan khairat, memperolehi dan mempunyai harta serta memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang. Sungguhpun begitu, kebebasan yang diberikan tersebut tidaklah bermaksud agama-agama bukan Islam boleh menyebarkan agama mereka kepada penganut agama Islam. Ini adalah sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama tertinggi dalam Negara.Maka, Perkara 11 (4) memberi kuasa kepada kerajaan negeri atau kerajaaan persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat penganut agama bukan Islam menyebarkan atau mengembangkan ajaran atau kepercayaan mereka kepada orang-orang Islam.

            Perkara 11 (4) Perlembagaan memperuntukkan “Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.”Kebebasan yang diberikan untuk mengamalkan agama masing-masing ini juga tidaklah sehingga membenarkan apa-apa perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang,  mendatangkan masalah kepada kesihatan awam dan akhlak individu yang lain. Perkara ini diperuntukkan dalam Perkara 11 (5) Perlembagaan.

Disediakan Oleh:
Mohd Shawizal Mohd Wasli
07DAT14F1009

No comments:

Post a Comment